Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
SUNGAI AKAR, Khamis, 23 Oktober. - Radio Televisyen Brunei (RTB) hari ini menerima lawatan daripada 74 pelajar Tahun 6 dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).
Turut berangkat menyertai rombongan lawatan berkenaan, cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Kehadiran rombongan di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar berkenaan dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah RTB, Awang Cheong Chee Keong.
Terdahulu, lawatan dimulakan dengan sesi taklimat mengenai fungsi utama RTB sebagai penyiar rasmi kerajaan yang antara lain berperanan untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur serta menjadi penghubung di antara kerajaan dan rakyat.
Topik mengenai dengan teknik serta prinsip penulisan dan bahasa yang digunakan dalam berita juga disampaikan oleh Penolong Ketua Penyunting, Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa (BHES), Awang Zul-Fakhri bin Maidy.
Selesai sesi taklimat, rombongan pelajar berpeluang melawat ke Studio Jubli Emas TV untuk menyaksikan lebih dekat bagaimana Rancangan Rampai Pagi beroperasi di sebalik tabir seperti penyediaan set, pengoperasian kamera dan teknik penyiaran langsung.
Seterusnya, para pelajar juga dibawa melawat ke Unit Pemberitaan dan Unit Penyuntingan Berita TV dan Radio, BHES untuk memahami proses pengumpulan dan penyuntingan kandungan berita televisyen dan radio.
Sejurus selepas itu, lawatan diadakan di Studio Berita termasuk galeri studio, untuk melihat bagaimana kru melakukan tugasan mengawal penggambaran dan rakaman.
Pelajar ISB berkenaan, menandakan satu penerokaan dan pembelajaran yang tidak dapat dilupakan di RTB, yang memberi tumpuan kepada dedikasi RTB untuk menjalankan peranan utamanya bukan sahaja sebagai wadah menyampaikan maklumat, tetapi juga untuk menanai imej kerajaan yang efektif dan pemedulian.